LAKSA BUYUNG
BUKIT GANTANG, TAIPING

Apabila disebut sahaja Bukit Gantang, terus terbayang pesta durian yang diadakan setiap tahun. Namun orang luar jarang mengetahui ‘mutiara tersembunyi’ yang terdapat di Bukit Gantang selain daripada duriannya yang kekuningan dan ternyata sedap.

Gerai Laksa Buyung. Itulah gerai tidak didendang yang memang menjadi kegilaan penduduk tempatan.

Makan Sedap

Sekali anda cuba pasti nak lagi. Kuah laksanya cukup pekat dan seakan-akan kuah laksa Penang. Kemanisan isi ikan boleh dirasai apabila menghirup kuahnya. Menambahkan lagi kesedapan kuahnya, ia dimasak dengan menggunakan buyung.

Seperti yang kita ketahui, penggunaan buyung memang boleh menyedapkan lagi masakan dan biasa digunakan oleh orang India untuk memasak kari. Maka, tidak hairanlah kuahnya begitu sedap.

Berikut merupakan alamat lengkap Gerai Laksa Buyung:

KPW Kampung Jelutong,
Bukit Gantang,
Taiping, Perak Darul Ridzuan.
Telefon: 019-4276543

Di sini, terdapat dua pilihan laksa yang boleh dipilih oleh para pelanggan; laksa pulas dan laksa kering. Laksa pulas sama seperti laksa yang biasa digunakan di Kuala Kangsar (menggunakan tepung beras). Namun di sini, namanya sedikit berbeza kerana semasa proses pembuatan, laksa dipulas untuk mendapatkan hasilnya yang panjang mengurai.

Laksa kering pula ialah laksa yang dibuat menggunakan tepung gandum dan perlu direbus terlebih dahulu sebelum dihidangkan.

Di Gerai Laksa Buyung, bukan sahaja laksanya yang menjadi kegilaan, bihun sup tulang juga antara menu yang popular. Membangkitkan lagi selera makan apabila laksa dimakan bersama air soya yang dibuat sendiri tanpa sebarang bahan pengawet.

Jika ingin merasai sendiri keenakan Laksa Buyung milik Puan Khazaimah Binti Ismail, gerainya terletak di tepi selekoh jalan lama menuju ke Taiping dari Ipoh atau Kuala Kangsar.

Sambung gerai Laksa ke 3