Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai tempat pelancongan malah ia terkenal dengan makanan uniknya yang tersendiri iaitu sejenis hidupan laut yang sukar ditemui di tempat-tempat lain. Salah satu daripadanya ialah bronok

Nama saintifiknya “Acaudina molpadioides”merupakan makanan eksotik yang sangat istimewa bagi penduduk pulau lagenda ini. Ia seringkali disajikan sebagai kerabu oleh rakyat tempatan.

Bronok ialah spesies hidupan laut yang hidup di kawasan pantai yang berselut. Rupa fizikalnya kelihatan seakan-akan gamat ataupun timun laut. Tekstur kulitnya sangat licin dan lembik seperti sotong dan terdapat dalam beberapa warna antaranya coklat kehitaman atau merah muda. Selain licin dan lembik, isinya juga sangat kenyal dan agak masin.

Kebiasaannya, ia hanya dijadikan kerabu kerana sifatnya yang alah kepada haba membuatkan ia akan mencair menjadi air masin jika dimasak. Cukup sekadar dimakan bersama nasi putih yang dihidang panas, rasanya sangat menyelerakan!

Kerabu bronok ini adalah makanan tradisi bagi masyarakat Langkawi. Namun, ramai pelancong yang datang ke Langkawi belum mengetahui tentang makanan unik ini kerana ia hanya boleh didapati pada musim-musim tertentu sahaja.

Cara Penyediaan Bronok

Bahagian pangkal kepala dan ekornya dibuang bagi mengeluarkan isi perutnya. Ia kemudian dihiris nipis menggunakan pisau yang tajam oleh kerana sifatnya yang licin. Kesabaran dan ketelitian sangat diperlukan bagi proses ini.

Ia perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan berair.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk kerabu bronok sama seperti membuat kerabu yang lain mengikut selera dan kreativiti masing-masing. Kesemua bahan asas kerabu disatukan sebelum digaulkan bersama bronok sebagai langkah terakhir.

Mahu cari dimana?

Terdapat dua cara bagi memperoleh bronok. Pertama, mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan cara menyelukkan tangan ke dalam selut. Kedua dengan menggunakan bot atau sampan di tengah lautan.

Namun, kebanyakan nelayan sekarang gemar mengguna cara yang kedua kerana ia lebih mudah, hasil tangkapan yang banyak dan menjimatkan masa.

Sekiranya anda ingin merasai sendiri kelazatan kerabu bronok ini, anda wajib datang ke Langkawi. Kini, ia boleh didapati di mana-mana kedai makan atau restoran dan juga pasar malam di sekitar Langkawi.