Bersempena dengan ulang tahun kelahiran pada 19 Oktober 2016 yang lepas, saya bersama keluarga ingin mencuba hidangan tomyam yang dikatakan agak terkenal di Silibin, Ipoh. Hidangan yang dinamakan sebagai Tomyam Poktek Kelapa Muda.

Dari paparan imej di ‘bunting’ ruang legar gerai, saya agak terkejut dengan gambar yang dipaparkan. Hidangan masakan tomyam disediakan di dalam sebiji kelapa muda dan jelas kelihatan seekor ketam diletakkan pada bahagian atas di dalam kelapa muda tersebut.

Saya agak terkejut dengan kelainan hidangan yang cuba ditonjolkan oleh pengusaha tersebut. Berbeza dengan hidangan tomyam lain yang biasa di pasaran. Pandangan awal saya, mungkin ianya sekadar gimik untuk menarik perhatian lebih ramai pengunjung datang merasa menu tersebut.

tomyam poktek

Kami telah memesan dua hidangan Tomyam Poktek, Ikan Siakap ‘Sweet Sour’, sayur Kailan sos tiram serta masakan udang goreng tepung sebagai hidangan makan malam kami sekeluarga.

Setiba hidangan yang dipesan telah sampai, saya terus mencuba kuah tomyam yang telah tersedia di depan mata. Hirupan pertama dimulakan. Wow! Rasa kuah tomyam yang agak masam, manis dan sedikit pedas itu membuatkan saya terdiam seketika.

Saya agak terpegun dengan rasanya yang unik, enak dan memukau serta ditambah pula dengan isi ketam, udang, dan lala yang segar turut disajikan di dalam kelapa muda tersebut. Jelas terasa kesegaran isinya yang diadun dengan rempah yang cukup sebati.

Pada malam itu, bonda saya memaklumkan yang biasanya beliau jarang untuk menerima rasa (memakan) tomyam di kedai masakan tomyam yang lain. Tetapi apabila sudah merasai sendiri Tomyam Poktek Kelapa Muda ini, lidahnya boleh menerima rasa tomyam ini sehingga habis! Ini pengakuan daripada bonda saya sendiri.

tomyam poktek

Apa yang membuatkan saya agak kecewa dan terkilan dengan FM Tomyam House ini adalah kenapa tidak dari awal lagi saya dimaklumkan akan keenakan Tomyam Poktek Kelapa Muda ini? Berbaloi jauh perjalanan untuk merasai sendiri keunikan masakan Tomyam Poktek Kelapa Muda ini.

Memang sangat bermakna menyambut malam ulang tahun kelahiran bersama keluarga di FM Tomyam House yang terletak di Silibin ini.

Lokasi Kedai : No 4, Gerai Lama Medan Selera Silibin, Lengkok Kledang Raya, ¬Taman Keledang Jaya, Ipoh. Restoran ini beroperasi setiap hari bermula dari jam 5 petang hingga 2 pagi.

Keterangan lanjut, layari www.facebook.com/FmTomyam-House.