Seorang jururawat telah melupakan hasratnya untuk berkhidmat di Arab Saudi selepas mencetuskan fenomena Kelapa Lelehhhh yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan termasuk yang datang dari luar Perak.

Hasni Farlina Mohd Sani, 33 sebelum itu telah terbang ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai jururawat di sana. Namun demi kecintaan terhadap bidang perniagaan dan ingin meneruskan legasi keluarga, dia melupakan impiannya untuk bergaji besar dengan bekerja di sana.

Gerai  Kelapa Lelehhhh KampoR terletak di No.1 Gerai Pertanian Jalan Iskandar Kampar, berhadapan dengan Masjid An-Nur Kampar dan gerai ini juga berhampiran dengan jalan susur untuk ke Teluk Intan dan bersebelahan jalan utama menuju ke Gopeng dan bertentangan dengan Masjid An Nur. Jika anda tidak pernah ke sini, Google Map atau Waze sajalah “Kelapa Leleh Kampar”, pasti jumpa.

Hanya dengan mencipta menu yang digelar Kelapa Lelehhhh, perniagannya mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 200 kelapa sehari berjaya dijual, berbanding hanya 30 sehari sebelum ini.

Kemanisan ais kacang dan kelapa pandan serta ditambah dengan kelazatan ais krim pelbagai perisa dihidangkan di dalam tempurung kelapa membuatkan orang ramai tertarik dan terasa ingin mencuba resipi berkenaan.

Ilham menu itu timbul ketika dia membantu perniagaan ibunya yang menjual ais kacang, cendol dan air kelapa sementara menunggu kelulusan permohonan visa untuk berkhidmat sebagai jururawat di luar negara sebelum ini.

“Pada mulanya, menu ini hanya suka-suka dan hanya dibuat di rumah untuk santapan keluarga. Tak sangka apabila saya mempromosi di laman sosial, ramai yang bertanya lokasi dan memenuhi kedai ibu untuk mencuba menu baru kami.”

Ada pelbagai variasi kelapa leleh yang terdapat di sini. Antaranya Kelapa Leleh Jumbo, ABC Kelapa Leleh, Cendol kelapa Leleh dan banyak lagi. Antara menu yang menjadi pilihan pelanggan ialah fruit lava (RM6.00), oreo leleh (RM5.00) dan jumbo leleh (RM15.00) yang boleh dinikmati sekitar dua hingga tiga orang.

“Selepas melihat sambutan yang baik, macam-macam idea pula timbul untuk mempelbagaikan perisa sehingga menjadi lapan perisa yang pasti menarik perhatian ramai,” kata anak tunggal itu ketika ditemui di kedainya.

Menu terbaharu yang ditawarkan adalah burger aiskrim leleh (RM6.00) dan vanila karamel (RM7.00) yang pastinya mampu membuka selera anda.

Dia yang gemar bereksperimen dengan makanan telah menguji pelbagai menu untuk disajikan kepada para pelanggan. Rata-rata menu ciptaannya mendapat sambutan hangat dan menjadi buah mulut para pelanggan seperti Nasi Ole Bali Lambak, Western Lambak, Mee Udang Lebor dan banyak lagi.

Tambahnya lagi, selepas Kelapa Lelehhhh KampoR viral di media sosial, gerainya telah diserbu sehingga kehabisan stok kelapa. Ramai pelanggan yang marah kerana tidak mendapat apa yang dihajati dan menyebarkan isu tersebut ke media sosial. Namun baginya, itu asam garam dalam dunia perniagaan.

 

GALERI

Kelapa Leleh Kampor dibuka dari Rabu hingga Ahad dan tutup pada hari Isnin dan Selasa. Pelanggan dinasihatkan mendapatkan maklumat di Facebook Kelapa Leleh Kampor untuk sebarang makluman.

Klik butang di bawah ini untuk mengetahui lokasi kedai.