No. #2 Makan Sedap Popular di Shah Alam, Selangor

Sajian Nasi Kerabu adalah menu utama sarapan pagi di Restoran Hatinie. Sejak Restoran Hatinie ini diasaskan pada tahun 1982, ia menjadi daya tarikan pengunjung untuk datang ke restoran ini.

Pemiliknya bernama Wan Norhatinie Wan Pa telah berjaya menaikkan jenama Restoran Hatinie sehingga dikenali ramai. Beliau sudah lama berkecimpung dalam industri makanan. Tidak hairanlah sekiranya beliau berjaya dalam industri makanan kerana beliau mempunyai Ijazah Sains Teknologi Makanan dari Universiti Putra Malaysia.

Restoran Hatinie terletak berdekatan dengan ‘Masjid Biru’ di Seksyen 10, Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Restoran Hatinie
Restoran Hatinie

Nasi Kerabu Resipi Asli Kelantan

Keistimewaan restoran ini ialah masakan tradisi kelantan yang disajikan sungguh banyak dan semuanya sedap-sedap belaka. Boleh jadi rambang mata mahu pilih yang mana satu untuk dijadikan santapan. Antara menu yang menjadi kegemaran pengunjung yang datang ke sini ialah Nasi Kerabu, Nasi Dagang dan Sate.

Keistimewaan Nasi Kerabu di sini ialah resipinya asli dari Kelantan. Pilihan lauknya banyak antaranya ikan goreng tepung, ikan rebus, ayam percik, ayam goreng berempah dan paru goreng. Bahan-bahan lain ialah ulam, tauge, lada sumbat, telur masin, jeruk bawang putih, sambal kelapa, sambal belacan dan keropok.

Boleh dikatakan setiap hari jualan Nasi Kerabu ini memang laris. Pasti habis awal. Kalau datang lewat, kempunan la jawabnya.

Nasi Kerabu - Restoran Hatinie

Nasi Dagang

Nasi Dagangnya pula sangat lembut dimakan dengan kari ikan tongkol dan kari ayam serta sayur timun. Tambah pula dengan sedikit sambal. Fuhhh…memang menyelerakan.

Nasi Dagang - Restoran Hatinie

Sate

Sate pula antara menu wajib sekiranya anda ke sini. Disyorkan anda rasa sate daging rusa dan daging lembu. Isinya besar dan rasanya agak manis sedikit. Apabila dimakan dengan kuah kacang, memang terlagi-lagi rasanya. Sate ayam dan kambing, rasanya sama saja seperti di tempat lain

Sate Daging - Restoran Hatinie
Sate Daging - Restoran Hatinie

Dewan Seri Hatinie

Wan Norhatinie bukan sekadar menjalankan perniagaan Restoran sahaja malah beliau ahli perniagaan yang serba boleh. Beliau memiliki perniagaan lain seperti katering, event planner dan dewan majlis mewah yang diberi nama Dewan Seri Hartinie.

Jenama Hatinie Dikenali

Dengan berbekalkan Ilmu Teknologi pemakanan, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan seperti Hatinie’s Kitchen yang menjual kambing perap sejuk beku.

Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pembeli dan agen dari seluruh Malaysia. Kini jenama Hatinie semakin dikenali oleh rakyat Malaysia terutama sekali warga Shah Alam.

Sarapan Pagi

Antara menu sarapan pagi yang ada di sini ialah roti canai, nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, laksam, sup, soto, sate, lontong, kuih muih tradisional seperti akok, pelita talam. Menu lain yang patut anda cuba ialah lontong, pulut kuning bersama rendang ayam dan kerutuk ayam.

Menu Sarapan Pagi - Restoran Hatinie - makansedap.my
Menu Sarapan Pagi - Restoran Hatinie - makansedap.my

Menu Tengahari

Bagi menu tengahari, anda usah bimbang. Disediakan nasi campur dengan pelbagai lauk pauk. Anda pilih saja apa yang anda mahu. Lebih dari 50 jenis lauk disediakan. Sekiranya anda mahu makan nasi campur seawal jam 9 pagi lagi pun boleh.

Kebanyakan lauk di sini berasaskan santan pekat. Daging singgang, budu, kerabu perut juga menjadi tumpuan. Di sini juga terdapat pelbagai jenis ulam-ulaman yang jarang dijual di restoran lain.

Variasi Bubur

Sebagai pencuci mulut, di sini terdapat pelbagai jenis bubur yang sedap seperti pengat ubi, pisang, sagu, sira pisang, bubur pulut hitam dan ada beberapa jenis bubur yang lain.

Bubur - Restoran Hatinie

Variasi Kuih Muih

Kuih muih tradisi juga ada dijual di sini seperti akok, gula melaka, pelita talam, kuih gelang, limas, lepat pisang, bingka ubi, bingka labu, kuih kemboja dan banyak lagi.

Kuih Muih - Restoran Hatinie

Rata-rata yang datang ke restoran ini kebanyakannya berasal dari Kelantan. Anda boleh kenal melalui dialek yang mereka pertuturkan sesama mereka.

Harga makanan pula berbaloi dengan kualiti rasa makanan yang disajikan. Servis perkhidmatan yang diberikan agak lambat bila sampai ke waktu puncak antara jam 12.30 tghari2:00 petang.

Usah harapkan servis yang pantas kerana di sini sudah menjadi kebiasaan ramai pengunjung yang datang menjamu selera pada waktu tengahari.

Kemungkinan anda perlu tunggu meja kosong untuk makan dan perlu beratur untuk membayar bil makanan. Mungkin perkara ini perlu ditambah baik oleh pihak pengurusan. Soal makanan memang sedap. Tiada masalah.

Restoran ini beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 11:00 malam. Anda digalakkan datang lebih awal. Sebaiknya sebelum jam 11 pagi bagi mengelakkan kesesakan dengan pelanggan yang datang makan di waktu tengahari. Sekiranya anda datang jam 3 petang alamatnya 70% lauk pauk makan tengahari sudah habis.

Soal tempat letak kereta di sini anda jangan risau. Percuma saja kerana ia dalam kawasan taman perumahan. Bila sampai waktu puncak, mungkin anda perlu parkir kereta jauh sedikit. Tempat letak kereta khas untuk orang kurang upaya juga disediakan betul-betul di hadapan restoran ini.

Namun, ia bukan jadi halangan untuk anda menikmati makanan di restoran ini kerana sangat berbaloi sekiranya anda yang menetap di Kuala Lumpur atau berdekatan dengan Shah Alam untuk datang ke restoran ini.

Lauknya memang sedap-sedap belaka. Bagi yang gemar dengan masakan kampung asli ala kelantan, di sinilah tempat yang sesuai untuk anda. Anda pasti jatuh cinta dengan makanan-makanan yang ada di sini. Dah rasa sekali pasti mahu datang lagi.

Klik butang di bawah ini untuk mengetahui lokasi kedai: