NO. #3 MAKAN SEDAP POPULAR DI KAJANG, SELANGOR

Allahyarham Dato Hj Samuri Bin Hj Juraimi merupakan pengasas bagi Sate Kajang Hj Samuri yang terkenal di Malaysia. Beliau dilahirkan pada 25 Julai 1944 di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.

Beliau mula berjinak-jinak dalam perniagaan sate sejak berusia 13 tahun lagi. Ketika itu beliau menumpang di rumah bapa saudaranya Hj Tasmin Sakiban.

Setiap hari selepas waktu sekolah, beliau akan menolong Hj Tasmin berniaga sate sehinggalah beliau tamat persekolahan pada tahun 1963. Walaupun sudah mendapat kerja tetap, beliau masih membantu Hj Tasmin berniaga sate sehinggalah beliau berhenti kerja pada tahun 1987. Selepas beberapa tahun, barulah beliau membangunkan jenama sate sendiri iaitu Sate Kajang Hj Samuri.

Pada tanggal 2 September 2017, jam 12.05 tengah malam, Allahyarham Dato Hj Samuri kembali ke rahmat Allah akibat barah hati tahap 4 pada usia 73 tahun.

Kini Sate Kajang masih gah di mata rakyat Malaysia walaupun beliau sudah tiada. Siapa tidak kenal jenama Sate Kajang Hj Samuri ini. Isinya besar, kuahnya sedap. Pasti menggamit hati untuk datang selalu.

Lokasi utama Sate Kajang Hj Samuri berada di Bangunan Dato’ Nazir, Jalan Kelab, Kajang. Bersebelahan dengan stadium Kajang.

Sejarah Sate Kajang

Sate Kajang pada asalnya telah dimulakan oleh Hj Tasmin Sakiban pada tahun 1917 yang datang ke Malaysia. Kemudian pada tahun 1992, sewaktu berusia 42 tahun, Hj Samuri membuka perniagaannya sendiri yang diberi nama Sate Kajang Hj Samuri dengan modal sebanyak RM30,000.

Kini, Syarikat Hj Samuri & Anak-anak Enterprise Sdn Bhd telah berkembang menjadi sebuah syarikat korporat yang mempunyai 20 cawangan perniagaan dan 3 kilang pemprosesan sate dan kuah kacang.

Secara tidak langsung ia membawa jenama Sate Kajang Hj Samuri menjadi peneraju dalam bidang perniagaan sate secara komersial di Malaysia.

Bangunan Restoran Sate Kajang Hj Samuri

Berikut adalah 20 cawangan Sate Kajang Hj Samuri:

  1. Bangunan Dato’ Nazir – Kajang (Main Outlet)
  2. Medan Sate Kajang – Jalan Kelab, Kajang
  3. Medan Sate Lama – Jln Sulaiman, Kajang
  4. Bandar Baru Bangi
  5. R&R Awan Besar
  6. R&R Kinrara
  7. Restoran Jejantas Sg Buloh
  8. R&R Dengkil Utara
  9. R&R Dengkil Selatan
  10. Putrajaya – Taman Warisan Putrajaya, Presint 16
  11. Damansara Uptown
  12. R&R Elmina Selatan
  13. R&R Elmina Utara
  14. Senawang – Senawang Commercial Park
  15. Taman Melati – Setapak
  16. Mara Bistro – KL
  17. Port Dickson – Saujana Walk, Jalan Pantai
  18. Shah Alam – Kompleks PKNS Shah Alam
  19. Selayang – Selayang Mall
  20. Danau Kota – Setapak

Keunikan

Keunikan Sate Kajang Hj Samuri ini ialah isinya besar dan kurang lemak. Rasanya isinya segar dan teksturnya lembut. Kuahnya pekat dan dipenuhi dengan kacang kisar. Bertambah sedap bila ia ditambah dengan sedikit sambal. Disediakan juga timun dan bawang merah yang segar.

Rasa sate dan kuahnya tetap sama walaupun anda datang pada hari yang berlainan kerana ia disediakan oleh kilang pemprosesan yang sama.

Rahsia Kejayaan dan Pesanan untuk Peniaga

Disebalik kejaayaan Sate Kajang, berdirinya insan-insan yang kuat dan tidak pernah putus asa dalam membangunkan Syarikat Sate Kajang ini. Ini hasil dari didikan Hj Tasmin yang sering menasihati Hj Samuri disepanjang perjalanan perniagaannya. Kini perniagaan Sate Kajang ini masih berdiri teguh dipacu oleh anak dan menantunya sendiri.

Antaranya nasihat Hj Tasmin yang sering terngiang-ngiang di telinga Allahyarham Hj Samuri ialah

“Jika kita mudahkan pelanggan, maka pelanggan akan mudahkan urusan kita”.

Dalam perniagaan, Hj Samuri berpesan,

“Jatuh bangun dalam perniagaan adalah resam kehidupan. Sekiranya kita jatuh, jangan salahkan sesiapa. Jangan mudah mendabik dada dengan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Kita perlu jadi seorang yang kreatif dan sentiasa melihat dari pelbagai sudut dalam memajukan perniagaan. Menjaga kualiti makanan dan SOP yang selaras di setiap cawangan.”

Hj Samuri berkata,

“Prinsip pertama dalam perniagaan, setiap hari pastikan kualiti makanan dan rasanya sama. Kedua, perkhidmatan mestilah berikan yang terbaik. Yang terakhir, jaga persekitaran restoran agar sentiasa bersih.”

Bagi mendapatkan kritikan dan pandangan dari pelanggan, di setiap cawangan ada diletakkan kad perniagaan Hj Samuri sendiri agar beliau sentiasa dapat melakukan penambahbaikan dalam perniagaannya.

Prinsip yang sering dipegang oleh Hj Samuri ialah

“Jangan sesekali kita menyusahkan orang dan menipu dalam apa jua bidang yang kita ceburi”.

Bukan atas faktor produk yang bagus sahaja, tapi sikap pendiri bisnes itu sendiri yang sangat berdisiplin dan mementingkan pelanggan.

Maka, atas faktor-faktor inilah Jenama Sate Kajang Hj Samuri menjadi terkenal dan disukai ramai terutama sekali rakyat Malaysia.

Variasi Menu Sate

Terdapat pelbagai variasi menu di sediakan di restoran ini antaranya ialah sate ayam, lembu, ikan dan perut berharga RM0.98. Sate hati & pedal RM0.90. Sate kambing RM1.60 dan sate arnab RM2.20.

Disediakan juga Nasi Impit dalam potongan kiub dan batang. Sepinggan nasi impit RM1.80 dan sebatang RM3.50. Ketupat RM0.70

Selain itu terdapat pelbagai jenis menu seperti Nasi Goreng Ayam, Nasi Ayam, Mee Bandung Kajang Special, Mee Hailam, Bihun, Sup, Kuey Teow dan banyak lagi.

Antara menu kegemaran pengunjung di sini ialah sate ayam dan daging.

Restoran Sate Kajang ini juga ada menyediakan perkhidmatan tempahan sate sekali dengan penghantaran, katering dan sewa dewan di cawangan utama sahaja. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Restoran Cawangan Utama

Restoran Sate Kajang Hj Samuri cawangan utama mempunyai ruang makan yang besar dan selesa. Ia terbahagi pada dua bahagian. Ruangan berhawa dingin dan ruangan terbuka.

Pertama kali anda datang ke restoran ini, anda akan nampak pelbagai barangan antik  di satu sudut sebelah kiri restoran ini seperti kereta kuda, basikal tua, peralatan pinggan mangkuk dan cerek lama. Manakala di sebelah kanan restoran anda akan nampak , meriam lama dan kereta kuda.

Pemandangan ini sangat unik yang jarang didapati di mana-mana restoran makanan yang lain. Ini adalah merupakan  minat Hj Samuri dalam barangan antik. Secara tidak langsung, pelanggan akan rasa berada di sebuah mini muzium yang tenang dengan pemandangan barangan antik.

Kaunter pesanan yang banyak. Perkhidmatannya pun cepat. Memudahkan anda untuk menempah sate dan tidak perlu tunggu lama. Hanya perlu tunggu beberapa minit saja. Namun pada cuti umum kebiasaannya agak lambat sedikit.

Restoran ini juga menyediakan ruang parkir kenderaan yang luas dan bagi yang datang dari jauh atau tidak mempunyai kenderaan, anda boleh saja menaiki MRT dan turun di stesen MRT Stadium Kajang. Ia mengambil masa lebih kurang 40 minit dari KL Sentral ke MRT Stadium Kajang ini.

Ia betul-betul berhadapan dengan Restoran ini. Jarak antara restoran dengan Stesen MRT ini hanya beberapa minit sahaja. Jalan kaki pun sudah sampai. Kelebihannya, anda tidak perlu meredah kesesakan jalan raya dan jimat masa.

Kemudahan yang disediakan seperti surau dan tandas yang selesa sangat membantu anda untuk makan di sini.

Antara masalah yang sering dihadapi oleh pelanggan yang datang ke sini ialah ruangan parkir kenderaan yang tidak cukup bila sampai waktu puncak.

Jadi, sekiranya anda mahu datang ke sini, elakkan datang pada waktu puncak setiap hari antara jam 12 tengahari hingga 2 petang, hujung minggu dan cuti umum jika tidak mahu beratur panjang.

Sekiranya datang bersama anak kecil, anda perlu ambil sendiri kerusi kanak-kanak dan duduk di ruangan berhawa dingin.

Jadi, rancang perjalanan dan percutian anda ke sini agar ia memudahkan anda. Sate Kajang Hj Samuri memang terbaik. Anda harus cuba.

Klik butang di bawah ini untuk mengetahui lokasi kedai