Martabak Cheese adalah makanan popular di kalangan rakyat Malaysia. Ia pernah menjadi bualan ramai dari peminat makan sedap sehinggalah ke pelancong asing. Penggemar Martabak ini sanggup beratur panjang dan menunggu lama demi mendapatkan sekeping martabak cheese yang sangat sedap. Ditambah pula dengan cheese yang meleleh, ia sangat menggiurkan. Oleh kerana ramai yang merindui untuk merasainya lagi maka peminat martabak cheese ini tercari-cari resipi yang sedap untuk mereka mencuba sendiri di rumah.

Harga sekeping Martabak Cheese adalah sekitar RM10 hingga RM28. Memandangkan harganya agak mahal, tidak semua orang mampu untuk merasainya selalu. Oleh itu, kami sertakan di sini langkah demi langkah Resipi Martabak Cheese yang tersebar luas di media sosial Facebook sebanyak 33,355 shares, 6118 likes dan 2142 comment. Selamat mencuba!

Resipi Martabak Cheese

*Klik butang (+) untuk melihat senarai bahan

Bahan: Bancuhan Tepung untuk Menghasilkan Kulit Martabak
  • 2 gelas (350 gram) tepung gandum (Disyorkan anda guna tepung gandum cap blue key)
  • 1 biji telur ayam
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu besar susu pekat manis
  • 1 sudu besar shortening/mentega
  • ½ gelas air masak untuk bancuhan doh. Tambah 200ml sekiranya masih keras
  • Air garam (Garam sedikit dibancuh dengan sedikit air terlebih dahulu)
  • Minyak masak / marjerin / mentega
Bahan A: Inti Martabak

*Sukatan ini boleh menghasilkan 3 hingga 4 keping Martabak

  • 500 gram daging kisah (Jenama Ramly Burger)
  • 2 biji bawang besar (sederhana besar)
  • Sedikit halia (ditumbuk)
  • 1 sudu besar rempah beriyani
  • 1 sudu besar rempah kari daging
  • 1 sudu besar minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan B: Telur
  1. 6 biji telur ayam yang dicuci bersih kulitnya
Bahan C: Bawang
  • 2 biji bawang merah dipotong dadu
Bahan D: Cheese
  • ½ – 1 mangkuk keju Mozarella yang diparut sederhana halus
  • 6 keping keju Cheesedale. Cairkan keju tersebut dan tambah 1 cawan susu segar. Adunkan sehingga menjadi cair seperti sos cili.
Bahan untuk Bawang Cuka
  • 2 biji bawang saiz sederhana besar dihiris nipis
  • 3 sudu besar cuka
  • Sedikit garam
  • Gula
  • Pewarna merah (ros)

Cara Penyediaan Doh

Uli Tepung Menggunakan Breadmaker atau Tangan

Masukkan semua bahan kecuali air. Semasa tepung diuli, tambah air sedikit demi sedikit hingga mendapat hasil seperti doh roti canai. Doh tidak perlu terlalu lembut. Uli doh selama 20 minit sehingga ia lembut dan kenyal. Sekiranya tepung doh tidak melekat pada tangan bila dipegang, itu tandanya bancuhan sudah sempurna. Setelah doh diuli, ambil doh dan buat gumpalan seberat 90 gram dan sapukan dengan mentega. Simpan doh tersebut dalam bekas plastik tertutup. Biarkan semalaman atau paling cepat selepas 5 jam.

Cara Penyediaan Inti Martabak

  • Tumis bawang besar dan halia dengan sedikit minyak
  • Masukkan rempah dan kacau hingga naik bau wangi. Biar lama sedikit supaya rempah masak dengan sempurna.
  • Masukkan semua daging kisar dan gaulkan.
  • Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa
  • Gaulkan adunan sehingga masak dan kering sedikit

Cara Penyediaan Bawang Cuka

  • Campurkan kesemua 5 bahan tersebut dan gaul sehingga rata. Biarkan sekejap sebelum makan agar campuran bahan sebati dan meresap dalam bawang.

Cara Penyediaan Martabak

Langkah 1

Bahan-bahan disediakan seperti dalam gambar. Cheese yang akan digunakan dalam menghasilkan martabak ini ada dua jenis iaitu mozarella cheese dan cheese sauce (Keju Cheesedale yang dicairkan dengan susu)

Langkah 2

Uli sebiji doh (90 gram) di atas papan penguli atau dalam talam sehingga menjadi leper. Letakkan sedikit minyak dan leperkan sehingga nipis seperti buat roti canai.

Langkah 3

Tarik doh yang telah dileperkan itu hingga ke hujung talam. Tarik dengan lembut agar kulit martabak tidak terkoyak.

Langkah 4

Pecahkan telur di atas roti (kulit martabak) dan masukkan inti martabak serta bawang

Langkah 5

Masukkan kedua-dua jenis Cheese (Mozarella dan Cheesedale Cair) mengikut berapa banyak yang anda suka.

Langkah 6

Balut inti bahan tersebut dalam bentuk petak empat segi

Langkah 7

Panaskan kuali pemanggang (pan/non stick plate) dengan api yang sederhana dan masukkan sedikit minyak. Ambil martabak dan letakkan ia dengan perlahan-lahan atas pemanggang. Tunggu beberapa minit, balikkan martabak

Langkah 8

Bila martabak hampir masak, pecahkan sebiji telur di atas martabak tersebut dan ratakan. Letakkan inti martabak di atasnya. Kemudian balikkan supaya inti tersebut masak

Langkah 9

Bila inti tersebut sudah masak, terbalikkan ia dan letakkan cheese di bahagian atas. Sukatan terpulang kepada anda. Lagi banyak, lagi sedap.

Langkah 10

Lipatkan martabak tersebut supaya cheese itu berada di bahagian tengah dan tunggu beberapa saat sehingga masak.

Taraa… Siap dihidang.

Anda tergoda? Jika anda suka dan mahu lagi resipi-resipi menarik, share resipi ini ke Facebook anda. Terima kasih. Selamat mencuba!

  • Tahap Kesukaran Resipi 70%