“Hang suka dak makan nasi ayam?” Habaq lagu tu lah kalau orang utara cakap.

Hari ini penulis nak berikan satu resipi mudah yang sering dimasak oleh penulis sendiri iaitu Resipi Nasi Ayam Malas.

Kita tahu Nasi Ayam merupakan salah satu makanan yang sangat popular di mana-mana daerah di Malaysia ini. Pergi mana pun pasti ada orang jual. Tambah pulak anak-anak zaman sekarang kalau tak pekena ayam memang tak sah. Makanan lain mereka tak suka pula. Mana pergi pun mesti nak makan ayam.

Nasi ayam adalah satu makanan lengkap yang ringkas. Ada sup, nasi, ayam, sayur salad, kicap dan sambal cili. Walaupun ringkas ia tetap sedap.

Jom kita lihat cara masak nasi ayam yang paling ringkas. Ia sangat sesuai dimasak untuk anak-anak. Ini menu orang malas namanya.

Resipi Nasi Ayam MALAS

Bahan-bahannya:

  1. Cuci beras ikut suka sukatan anda. (tapi yang ni penulis masak 3 pot beras untuk 4/5 orang makan)
  2. Titik 3 ulas bawang putih,
  3. Seinci halia di mayang
  4. Buah pelaga dan 3 kelopak bunga lawang
  5. Dua sudu butter
  6. Secubit kunyit serbuk untuk warna
  7. Daun pandan untuk bau
  8. Secubit garam utk rasa
  9. Dan seketul kiub ayam (ikut suka anda jenama apa saja)

Cara-caranya:

  1. Untuk nasi ayam ringkas ni tak payah lah nak tumis-tumis. Masukkan semua bahan dengan beras yang telah dibersihkan tadi.
  2. Tuangkan air ke dalam beras seperti masak nasi biasa acuannya.
  3. Tapi awas, jangan terlebih air kerana butter akan melembikkan lagi nasi bila masak nanti.

Cara Sediakan Sup Ringkas

Bahan-bahannya:

  1. Titik dua ulas bawang putih.
  2. Titik sedikit halia
  3. Hiris sebiji bawang merah atau setengah biji bawang besar
    (2 biji buah pelaga dan dua kelopak bunga lawang jika ada)

Cara-caranya:

  1. Tumiskan semua diatas dengan sedikit minyak
  2. Masukkan air dan setengah ketul kiub ayam serta didihkan.

Ayam? Takde ke?

  • Beli je ayam golek dari pasaraya. Kan mudah!!

Sos?

  • Gunakan saja sos cili yang ada di rumah dan kicap cair jika ada.

Ha…dah siap. Malas tak?

Nak resipi lagi? Komen di bawah resipi yang anda mahu kami sediakan.