Dunia masakan memang unik dan penuh dengan misteri. Daripada bahan-bahan asas boleh bertukar kepada beribu-ribu jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa. Itulah keajaibannya.

A + B + C sama dengan Ais Batu Campur (itu hanya gurauan). Sebagai contohnya, dengan menggunakan pisang sebagai bahan asas, anda boleh memasak pelbagai resipi seperti pengat pisang, gulai pisang, ais krim pisang belah dan pelbagai resipi lain mengikut kreativiti dan budaya masing-masing.

Sesungguhnya Malaysia sangat bertuah dengan limpahan makanan yang sedap dan menyelerakan disebabkan kepelbagaian kaum yang menambahkan lagi rencah dalam masakan dan makanan di Malaysia.

Kalau orang Melayu berbangga dengan gulai rendang, orang India pula pasti mendabik dada dengan gulai kari mereka yang begitu pekat dan membuat tubuh badan berpuluh satu badan apabila memakannya. Orang Cina juga tidak mahu ketinggalan dengan makanan menyihatkan mereka seperti pau, sup sarang dan sebagainya.

Namun sebenarnya, kita semua dalam kerugian kerana masih belum menerokai sepenuhnya dunia masakan dan makanan pelbagai bangsa di Malaysia ini. Ramai yang takut dan was-was untuk mencuba makanan bangsa lain kerana ragu-ragu dengan bahan-bahan yang digunakan dan status halal makanan tersebut.

Salah satu makanan yang orang ramai terlepas pandang ialah ‘Martabak Cina’.

Apa itu ‘Martabak Cina’?

‘Martabak Cina’ ini dikenali sebagai Ngor Hiang dalam kalangan bangsa Cina. Kiranya nama formal makanan ini. Tetapi, bagi orang Hokkien, mereka memanggilnya sebagai Loh Bak.

Dalam adat dan budaya masyarakat Cina, makanan ini dimakan semasa Tahun Baru Cina sahaja. ‘Martabak Cina’ disediakan dengan cara inti isi ayam dan sebagainya dibalut dengan kulit fucuk dan digoreng. Makanan ini agak meriah kerana menggunakan banyak bahan.

Petua ‘Martabak Cina’ Supaya Lebih Sedap

Mengikut tradisi masyarakat Cina, mereka akan dikukus ‘martabak cina’ terlebih dahulu. Selepas itu, barulah digoreng. ‘Martabak Cina’ yang telah dikukus bolehlah diletakkan di dalam peti sejuk dan apabila hendak dimakan, bolehlah terus diluncurkan ke dalam kuali untuk digoreng. Sesuai bagi wanita berkerjaya yang ingin menjimatkan masa di dapur, dihidangkan semasa sarapan dan minum petang untuk seisi keluarga.

Resipi Lain Menggunakan ‘Martabak Cina’

Air kukusan ‘Martabak Cina’ boleh disimpan dan dibuat sup. Dengan menggunakan bahan yang sama, kini anda boleh mendapat dua juadah berbeza. Untungnya.

Bahan-bahan

  • 3 bungkus kulit fucuk (dilipat tiga dan dipotong, boleh dapat 12 keping)
  • 1 kg isi ayam didadu kecil
  • 1 kg isi udang didadu kecil
  • 1 mangkuk bawang besar dicincang halus
  • 1 labu bawang putih dicincang halus
  • 1 mangkuk lobak merah dihiris halus
  • 1 mangkuk sengkuang dihiris halus
  • 1 mangkuk cendawan shiitake dihiris halus
  • 1 mangkuk daun bawang dihiris halus
  • 2 biji telur
  • Sedikit tepung beras
  • 1 sudu besar 5 rempah campuran
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • 5 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar cuka putih
  • 5 sudu besar sos kicap cair
  • 1 sudu besar serbuk pati ayam
  • Gula, lada sulah dan garam secukup rasa

KatMana Nak Dapat Fucuk dan 5 Rempah Campuran?

Pasti ramai yang menggaru kepala sekarang dan tertanya-tanya katmana nak beli fucuk dan 5 rempah campuran? Semua bahan ini boleh dibeli di pasar raya terkemuka di seluruh negara dan kedua-dua bahan ini berada di bahagian rempah ratus.

Halal Ke?

Ini memang isu sensitif dan sentiasa menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam. Banyak persoalan yang bermain di minda, banyak tanda tanya dan juga kata cinta. Eh ternyanyi lagu Cinta Muka Buku pula.

Jangan risau abang, kakak, pak cik, mak cik dan opah sekalian. Fucuk yang dijual mempunyai cap halal dan ia merupakan makanan untuk golongan vegetarian. Kalau makanan vegetarian, kita tahu sudah tentu ia daripada tumbuh-tumbuhan. Sebenarnya fucuk dihasilkan daripada kacang soya, kandungannya sama seperti tauhu.

Mana Resipinya?

Alamak terlupa nak berkongsi resipinya pula. Sibuk sangat bercerita tentang di sebalik resipi ‘Martabak Cina’. Nampak sangat anda semuatak sabar naktahu kan?

Cara Penyediaan

  1. Gaulkan semua bahan mentah terlebih terlebih dahulu. Akhir sekali, masukkan telur dan tepung beras. Perapkan selama sejam sebelum dibalut dan pastikan ia tidak terlalu cair supaya mudah dibalut.
    makansedapmartabakcina11
  2. Potong fucuk dan lapkan dengan air supaya lembut dan menghilangkan kekotoran.
    makansedapmartabakcina12
  3. Sekeping fucuk diisi dengan dua sudu besar inti dan balut seperti popia. Tepi kulit disapukan dengan bancuhan  tepung supaya boleh melekat.
    makansedapmartabakcina13
  4. Apabila minyak telah panas, gorengkan ‘martabak cina’ dengan api sederhana.
    makansedapmartabakcina14
  1. ‘Martabak Cina’ siap untuk dihidangkan dan selamat menjamu selera.
    makansedapmartabakcina15

Jangan lupa cuba tau! Penat kami berkongsi resipi ini tapi anda taknak cuba pun. Lagi satu, jangan kata kami tak payung!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram untuk lebih banyak resipi, petua masakan dan makanan sedap di seluruh Malaysia.

Sumber: