‘Nyaman’ dalam bahasa Sarawak bermaksud sedap. Kalau bahasa Melayu, nyaman lebih sesuai digunakan untuk ayat ‘menghirup udara yang nyaman dan damai’. Jangan hairan kalau terdengar orang Sarawak memuji makanan dengan menyebut ‘nyamannya makanan ni’. Jangan terkejut ya!

Bagi yang belum pernah merasai laksa Sarawak, cubalah sekali, anda pasti nak lagi dan terbayang-bayangkannya. Berbanding laksa lain, laksa Sarawak menjanjikan rasa kuah yang lebih rasa rempah, pedas dan berlemak. Menambahkan lagi kesedapannya apabila disulami dengan sambal belacan dan masam-masam limau kasturinya. Tak rugi mencubanya, nah kami kongsikan resepi rahsia kesedapan laksa Sarawak.

Bahan-bahan laksa:

  • Bihun (dicelur dan ditoskan)
  • Isi ayam (digoreng lebih sedap)
  • Tauhu goreng
  • Telur dadar
  • Tauge (dicelur seketika)
  • Cendawan hitam (dicelur)
  • 300g udang (dicelur)
  • Telur rebus
  • Sambal belacan dan limau kasturi

Cara penyediaan sambal belacan:

Kisar (menggunakan pengisar bahan kering) 3-4 tangkai cili merah dan 10 tangkai cili api (ikut tahap kepedasan masing-masing) bersama-sama 3 sudu belacan dan sedikit garam.

Bahan-bahan kuah laksa:

  • 200g pes laksa sarawak Haji Manan
  • 2 liter air
  • 200g udang tanpa kulit – boleh juga dicincang
  • 2 batang serai – dititik
  • 200ml santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakan kuah laksa:

  1. Masak 2 liter air sehingga mendidih dan celurkan udang (300g) seketika. Boleh juga rebus isi ayam tadi jika tidak suka digoreng. Toskan.
  2. Masukkan rempah laksa,serai yang diketuk dan masak sehingga mendidih. Masukkan udang(200g) untuk kuah, santan, garam, gula. Biarkan mendidih dan sebatikan rasa.
Cara Menghidang laksa Sarawak:
Sediakan mangkuk, masukkan bihun, dan bahan-bahan laksa di atasnya. Lengkapkan dengan kuah laksa dan sambal belacan. Perahkan limau kasturi dan laksa sudah sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba!
Sumber: http://sue-hasue.blogspot.my/2011/05/resepi-laksa-sarawak-nyaman-ehhh.html